Saturday 27 June 2015

TERIMA KASIH GURU KERANA MEROTANKU.

Saya masih ingat ketika pertama kali dirotan. Saya dirotan oleh ustazah yang mengajar Al Quran. Walaupun hanya sekali tetapi itu cukup menyakitkan dan mengejutkan. Berbekas peha saya dibuatnya. Pulang ke rumah saya mengadu kepada bapa… Terkejut! Saya dipukul sekali lagi oleh bapa. Bukan sahaja bapa tidak menyalahkan ustazah, saya sekali dimarahi dan menerima rotan tambahan.
Sejak itu, saya tekad, serik dan tidak akan mengadu lagi kepada bapa kalau dimarahi atau dirotan oleh guru sekolah atau guru Al Quran.  Pada ayah, guru tetap betul, anak mesti yang salah. Walaupun bapa tidak berpelajaran, tetapi dia berpegang kepada prinsip: Untuk mendapat ilmu wajib hormati guru.
“Kita orang susah, hanya ilmu dapat membantu kamu dewasa nanti,“ begitu pesan bapa. Dalam kehidupan bersama bapa, sepanjang ingatan saya banyak kali (tidak terhitung) saya dirotan. Anehnya, kalau bapa memanggil saya ketika bermain dengan kawan-kawan dan di tangannya ada rotan (saya tahu saya bakal dirotan), saya tidak berani melarikan diri melainkan pasrah dan menyerah. Rotanlah beberapa kali pun saya hanya menangis.
Di sekolah menengah juga pernah saya dirotan. Saya dan beberapa kawan dirotan kerana tidak hadir kelas menelaah malam. Maklumlah, peperiksaan sudah tamat, kami memutuskan untuk ‘enjoy’ bermain kerom di dalam stor asrama. Namun peraturan tetap peraturan. Kami tertangkap semasa asyik bermain (kantoi, bahasa remaja sekarang) oleh Pengetua sendiri. Akibatnya, kami dirotan seorang sekali malam itu juga.
Rotan daripada pengetua itu tidak menyakitkan tetapi kesannya begitu dalam. Saya mula serius dengan peraturan dan undang-undang selepas itu. Daripada insiden itu saya mula mendidik diri menjadi orang yang menepati masa. Dan seingat saya kawan-kawan yang sama-sama menjadi ‘mangsa’ rotan ada malam itu sekarang, sudah pun menjadi doktor, jurutera an ahli perniagaan yang berjaya.
Jika rotan pernah mengajar saya, rotan itu jugalah yang saya gunakan untuk mengajar anak-anak. Seingat saya, pernah juga saya merotan anak-anak. Walaupun tidak nafikan kadangkala sebagai ibu-bapa, saya turut juga beremosi dan digugat rasa geram dan marah… tetapi motif merotan bukanlah kebencian, tetapi tetap kasih sayang.
Pepatah pun pernah mengingatkan, “sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan.” Semasa membaca buku Hikayat Abdulllah yang ditulis oleh Munsyi Abdullah, saya ada membaca hukuman guru terhadap pelajar-pelajarnya ketika itu. Dalam dunia Melayu ketika itu, sudah menjadi resam, apabila menyerahkan anak kepada guru, bapanya akan berkata, “daging untuk tuan, tulang untuk saya. Pukullah, asalkan jangan buta dan patah.” Begitu jujur dan tulus hati seorang ayah, begitulah juga dengan guru. Guru pada waktu itu sangat mengasihi pelajarnya seperti mereka mengasihi anak sendiri.
Sumber: ustaz Pahrol Mohamad Juoi (http://genta-rasa.com/2015/01/31/terima-kasih-guru-kerana-merotan-ku/)

No comments:

Post a Comment